Isnin, Jun 28, 2010

Tanah KTMB di Singapura: Menang Sorak Sampai Tergadai

Oleh Syed Imran

Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura adalah milik republik itu. Kenyataan ini tidak dinafikan, tetapi apa yang perlu disebutkan ialah selagi tanah itu digunakan untuk perkhidmatan keretapi, maka pihak berkuasa Singapura tidak boleh ganggu-gugat sama sekali.

Perlu disebutkan di sini bahawa perjanjian penggunaan tanah dan stesen keretapi dibuat pada tahun 1918 dengan kerajaan atau pentadbiran Negeri-negeri Selat atau Straits Settlements yang termasuk Pulau Pinang dan Singapura.

Dalam perjanjian tersebut, tanah berkenaan dipajak untuk tempoh 999 tahun, ini bermakna tempoh pajakan hanya akan tamat pada tahun 2917. Oleh itu, KTMB berhak ke atas tanah itu selagi ia mengendalikan perkhidmatan tren atau rel ke Tanjong Pagar.

Seperti yang kita sedia maklum, nilai tanah di Tanjong Pagar, Bukit Timah dan Keranji telah berpuluh kali berlipat ganda dan kini bernilai bukan dalam jutaan dolar Singapura (SD) tetapi berbilion SD. Sebab itulah Singapura, yang mewarisi hartanah pentadbiran Negeri-negeri Selat, mahukan sangat tanah KTMB.

Dalam penjelasan di Dewan Rakyat hari ini oleh seorang tiimbalan menteri, Dewan diberitahu bahawa sekiranya perkhidmatan rel tidak dijalankan, maka tanah tersebut akan dikembalikan kepada pihak Singapura tanpa apa-apa pampasan. Dewan tidak diberitahu bahawa selagi KTMB mengendalikan perkhidmatan rel, Singapura tiada hak untuk meminta KTMB berpindah ke Woodlands atau ke mana-mana dari Tanjong Pagar.

Ada pihak di Malaysia yang berkata persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pemimpin, Datuk Seri Najib dan Lee Hsien Loong, di republik itu sebagai 'menang-menang' atau 'win-win situation' bagi kedua-dua pihak.

Siapa yang menang dalam erti kata sebenar?

Jawapannya sama seperti kes Batu Putih yang juga disifatkan oleh Menteri Luar ketika itu, Dr Rais Yatim sebagai 'menang-menang', dan kes dua blok telaga minyak di luar pantai Limbang, Sarawak yang diserahkan kepada Negara Brunei Darussalam.

Malaysia Boleh!

~Kuda Ranggi

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

Isunya tidaklah besar mana pun. Malaysia tidak rugi apa pun dalam hal ini, malah lebih untung lagi. Hanya faktor sejarah sahaja yang membuatkan ada segelintir orang marah kepada kerajaan berhubung kes tersebut.

Benar, sejarah tidak boleh menipu kita dan sejarah itu penting. Tetapi dunia telah berubah, maka kita tidak boleh terus bernostalgia dengan sejarah. Kita nak marah kerana tanah kita 78 tahun 'diserahkan' kepada Singapura.

Bukan diserahkan, kita kena faham. Kerajaan kita pun bukannya bodoh sangat nak 'serah' tanah buta-buta kepada Singapura. Kita majukan tanah itu bersama Singapura dan kita memegang kepentingan 60 % dalam projek pembangunan tanah tersebut. Kita masih majoriti lagi. Malah Singapura bersetuju pula untuk tanah-tanah yang dimajukan itu boleh ditukar, berdasarkan nilai masing-masing, dengan tanah di Marina South dan Ophir Rochor.

Singapura adalah sebuah negara yang kecil dan tanahnya cukup terhad. Pembangunan semakin hari semakin pesat, rakyat semakin bertambah . Sudah tentu mereka menghadapi masalah bagi menyediakan segala kemudahan untuk rakyat dan pelabur.

Oleh kerana tanah dan landasan keretapi KTM, Singapura telah terpecah dua sepanjang lebih kurang 30 km dari Woodlands hingga ke Tg Pagar. Ianya terhalang dengan landasan keretapi di tengah-tengah. Ini telah menghalang pembangunan mereka. Sudahlah tempatnya kecil, kemudian ada halangan pula, sudah tentulah mereka menghadapi kesukaran.

Tanah keretapi, bila berada disitu ianya sekadar menjadi laluan keretapi sahajalah sampai bila-bila pun. Bukan boleh mendatangkan hasil lain lagi. Setakat kutip duit tiket keretapi sahaja. Kemudian setiap tahun kita bayar cukai tanah kepada kerajaan Singapura.

Post Haru Biru

Arkib Blog