Memaparkan catatan dengan label mari solat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mari solat. Papar semua catatan

Sabtu, Ogos 28, 2010

Isu Larangan Bukan Islam Memasuki Masjid



Fatwa Jakim: Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid

Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Berkaitan klik>>>

Jumaat, Ogos 27, 2010

Hukum Orang Bukan Islam Memasuki Masjid


Soalan:

Apakah hukumnya orang-orang bukan beragama Islam memasuki masjid? Jika dibolehkan, apakah tatacara dan adab-adab bagi membolehkan mereka masuk ke dalam masjid untuk tujuan melawat dan menyaksikan kawasan dalam masjid?

Jawapan:

Di dalam mazhab asy-Syafie orang kafir haram dan ditegah sama sekali daripada masuk Masjidil Haram sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah : 28.

Di dalam kitab I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid karangan Muhammad Abdullah az-Zarkasyi ada dibahaskan tentang hukum orang musyrik masuk ke masjid selain Masjidil Haram. Menurut kitab tersebut, orang kafir dibolehkan masuk ke dalam masjid dan diam di dalamnya, sekalipun dia di dalam keadaan junub.

Ini berdasarkan hadith Baginda SAW yang menjelaskan bahawa pada zaman Baginda SAW orang-orang kafir masuk ke dalam masjid Baginda yang tidak diragukan lagi bahawa mereka itu dalam keadaan berjunub. (I’lam as Sajid bi Ahkam al-Masajid : 318)

Sebab keharusan ini kerana mereka beriktiqad bahawa tidak haram hukumnya ke atas mereka masuk ke dalam masjid dalam keadaan berhadas besar. Berlainan pula halnya dengan orang Islam, mereka ditegah masuk atau berada di dalam masjid dalam keadaan berhadas besar atau berjunub sebagaimana menurut ketentuan syarak terhadap mereka.

Keharusan orang kafir masuk ke dalam masjid selain Masjidil Haram berdasarkan hadith Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (yang bermaksud) :

“Rasulullah SAW telah mengutus pasukan berkuda ke Najd. Kemudian mereka datang kembali dengan membawa seorang (tawanan) lelaki daripada Bani Hanifah bernama Tsauban bin Utsal lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. (HR al-Bukhari)

Imam ar-Rafie dan Imam an-Nawawi rahimahumallah berpendapat secara mutlak membolehkan orang kafir memasuki masjid selain Masjidil Haram tetapi dengan mendapat keizinan orang Islam. Sementara itu, orang Islam yang memberi kebenaran kepada mereka untuk masuk itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal.

Daripada penjelasan para ulama’ Syafiiyyah di atas, jelas bahawa orang kafir adalah dibolehkan masuk ke dalam masjid selain Masjidil Haram apabila telah memenuhi syarat-syarat yang telah dijelaskan.

Untuk ini, pihak masjid memang perlu membuat peraturan sesuai dengan kehormatan dan kesucian masjid, umpamanya dimestikan memakai pakaian yang sopan atau menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa-masa yang sesuai dan lain-lain peraturan yang munasabah.

Yang ni pun kena baca gak: MASJID SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN - JAKIM

Rabu, Jun 23, 2010

Selangor Mengalukan Wanita Solat Jumaat


SHAH ALAM - Selangor mengalu-alukan kehadiran jemaah wanita bagi menunaikan solat Jumaat di negeri ini sekiranya mempunyai kelapangan dan tidak mengganggu ruang jemaah lelaki.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin.

Menurutnya, negeri ini memang sudah mengamalkan solat Jumaat wanita sebelum jawatan Mufti diwujudkan iaitu bermula tahun 1935 hingga 1952.

“Solat Jumaat wanita di Selangor sudah lama berjalan sebelum negeri ini mewujudkan jawatan Mufti dan sepanjang tahun itu, wanita sudah menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Sultan Sulaiman, Klang.

“Namun, selepas 1952, tiada lagi jemaah wanita menunaikan solat Jumaat dan Selangor mengalu-alukan jemaah wanita yang ingin berbuat demikian boleh datang ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz dekat sini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Tamyes berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa masjid itu mempunyai ruang mencukupi untuk menampung jemaah wanita tanpa mengganggu jemaah lelaki.

“Di Masjid Negeri, ruang di tingkat atas iaitu tingkat dua tidak digunakan semasa solat Jumaat. Jemaah wanita yang mempunyai kelapangan pada waktu itu dialu-alukan untuk bersolat Jumaat.

“Menjelang tahun depan, Selangor mempunyai dua masjid yang menerima jemaah wanita iaitu masjid di Bukit Jelutong yang mana masjid ini diwakafkan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,” katanya.

Post Haru Biru

Arkib Blog