Rabu, Jun 23, 2010

Selangor Mengalukan Wanita Solat Jumaat


SHAH ALAM - Selangor mengalu-alukan kehadiran jemaah wanita bagi menunaikan solat Jumaat di negeri ini sekiranya mempunyai kelapangan dan tidak mengganggu ruang jemaah lelaki.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin.

Menurutnya, negeri ini memang sudah mengamalkan solat Jumaat wanita sebelum jawatan Mufti diwujudkan iaitu bermula tahun 1935 hingga 1952.

“Solat Jumaat wanita di Selangor sudah lama berjalan sebelum negeri ini mewujudkan jawatan Mufti dan sepanjang tahun itu, wanita sudah menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Sultan Sulaiman, Klang.

“Namun, selepas 1952, tiada lagi jemaah wanita menunaikan solat Jumaat dan Selangor mengalu-alukan jemaah wanita yang ingin berbuat demikian boleh datang ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz dekat sini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Tamyes berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa masjid itu mempunyai ruang mencukupi untuk menampung jemaah wanita tanpa mengganggu jemaah lelaki.

“Di Masjid Negeri, ruang di tingkat atas iaitu tingkat dua tidak digunakan semasa solat Jumaat. Jemaah wanita yang mempunyai kelapangan pada waktu itu dialu-alukan untuk bersolat Jumaat.

“Menjelang tahun depan, Selangor mempunyai dua masjid yang menerima jemaah wanita iaitu masjid di Bukit Jelutong yang mana masjid ini diwakafkan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,” katanya.

0 comments:

Post Haru Biru

Arkib Blog