Dominasi Facebook dan Friendster dalam dunia tanpa batasan telah mendapat reaksi daripada gergasi enjin carian, Google, yang menawarkan pilihan baru bagi penggemar rangkaian sosial maya.
APABILA berbicara tentang laman rangkaian sosial, tentunya dua 'F' bermain di kotak fikiran kita. Facebook dan Friendster - kedua-dua laman rangkaian sosial ini telah berjaya menarik ratusan juta pengguna Internet di seluruh dunia.
Laman web yang suatu ketika dahulu hanya digunakan sebagai wadah menghimpunkan teman-teman lama dan baru, kini turut digunakan oleh syarikat-syarikat bagi mempromosi produk mereka.
Golongan selebriti juga memudahkan peminat mereka mengetahui perkembangan terkini menegnai aktiviti mereka.
Tidak hairan lagi apabila ia turut dijadikan platform oleh tokoh-tokoh politik untuk mendekatkan diri mereka dengan lingkungan berkepentingan.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun telah mengambil inisiatif meletakkan dirinya bersama-sama rakyat jelata melalui Facebook bagi menyelami masalah dan mendengar cadangan secara terus daripada rakyat.
Pendekatan penerimaan input secara terus daripada rakyat ini tidak pernah diguna pakai sebelum ini. Pastinya fungsi tersebut dapat menambat hati rakyat kerana mereka tidak sekadar dapat melihat pemimpin mereka melalui kaca televisyen, tetapi dapat terus berinteraksi melalui wall atau dinding profil pemimpin mereka itu.
Dominasi Facebook dan Friendster di dalam dunia tanpa batasan ini telah mendapat reaksi dari gergasi enjin carian Google.
Sungguhpun Google telahpun memiliki laman web sosial versi mereka sendiri yang dikenali sebagai Orkut, namun sambutan terhadapnya agak hambar dan lebih mendapat sambutan pengguna di India dan Brazil.
Agar tidak ketinggalan dalam persaingan rangkaian sosial, pada 9 Februari lalu Google telah memperkenalkan Google Buzz, satu komponen rangkaian sosial yang diintegrasikan ke dalam aplikasi email web Gmail mereka. Pembangunan Buzz tertumpu kepada perkongsian foto, video dan juga pautan kepada pengguna Buzz yang lain.
Buzz membolehkan pengguna untuk memilih sama ada untuk berkongsi setiap kemas kini yang dilakukan secara global ataupun tertutup kepada sekumpulan teman-teman tertentu sahaja. Ia turut diintegrasikan dengan laman seperti Picasa, Flickr, YouTube, Blogger dan juga Twitter.
Buzz versi bergerak pula digandingkan dengan aplikasi popular Google Maps membolehkan pengguna melihat siapa yang berada berdekatan dengan mereka. Setiap pos kemas kini yang dibuat melalui Google Maps boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang menggunakan aplikasi tersebut.
MAMPUKAH Google Buzz mencuri perhatian penggemar aplikasi seumpamanya?
Selain dari teks, pengguna Buzz versi ini juga boleh memuat naik gambar ke dalam pos mereka.
Langkah Google memperkenalkan Buzz dilihat oleh penganalisa industri tidak lain tidak bukan sebagai satu langkah untuk memecahkan monopoli rangkaian sosial yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat tidak kira peringkat umur.
Tetapi apa yang lebih penting, perlindungan privasi terhadap pengguna wajar dititikberatkan agar tidak berlaku kebocoran maklumat peribadi pengguna kepada pihak yang tidak bertanggungjawab
Oleh KHAIRUL ANUAR RAHMAN
0 comments:
Catat Ulasan