Saya agak terkejut dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussain, sebagaimana yang tersiar dalam Berita TV3 jam 8 malam semalam mengenai insiden pembakaran 7 gereja di negara ini yang berlaku sejak hari Jumaat lepas. Saya cuba mencari butiran kenyataannya dalam beberapa media internet, tapi tidak menemuinya. Memandangkan kenyataannya agak mengejutkan dan saya tidak sempat mencatat kenyataan beliau dalam berita jam 8.00 malam, saya terpaksa menunggu ulangan siaran berita TV3 jam 12.00 malam untuk mencatitkan keseluruhan apa yang Hishamuddin kata:
- "Tapi insiden-insiden ini (bakar gereja) bukan serius, setakat baling-baling batu, melontar bahan api, tiada kerosakan serius, MAKA SAYA BERSYUKUR ia tidak seperti digembar gemburkan. Nampaknya tak ada gerakan yang incoordinated, itu yang saya LEGA, setakat ini ia isolated cases", demikian kata Hishamuddin.
Pelik, gereja dibakar dan Hishamuddin berkata dia bersyukur dan rasa lega dengan apa yang berlaku! Gereja dibakar yang boleh menimbulkan huru hara besar, tapi Hishamuddin berkata ia bukan insiden serius dan cuma kes terpencil. Sudah tujuh gereja dibakar setakat ini, tidak temasuk insiden gereja yang disimbah cat di Durian Daun, Melaka dan Sekolah Menengah Convent Taiping yang dibaling bom api.
Jika campur semua insiden itu, sudah sembilan insiden mengkhianati premis kepunyaan orang Kristian berlaku di negara ini. Tapi Hishamuddin masih cuba berkata dia bersyukur dan rasa lega kerana ia tidak serius dan cuma kes tepencil. Saya tidak faham mengapa sembilan kes masih dianggap sebagai tidak serius dan kes terpencil? Mungkin apabila 90 gereja dibakar baru Hishamuddin akan kata ia satu kes serius? Atau jika bangunan Umno di PWTC dibakar dan Kuala Lumpur terbakar seperti pada tahun 1969 baru ia jadi serius?
Saya juga tidak faham mengapa melontar bahan api tidak dianggap serius. Tak kan pula Hishamuddin perlu menunggu seseorang melontar C4 yang boleh meruntuhkan bangunan itu baru boleh dianggap sebagai satu insiden serius?
Apabila ada pihak yang menyatakan peristiwa membakar gereja ini didalangi Umno, pemimpin-pemiimpin mereka termasuk Hishamuddin bukan main marah lagi. Tapi kenyataan Hishamuddin yang seperti memandang remeh dan enteng dengan sembilan serangan itu seperti menyokong anggapan pihak-pihak tersebut adalah benar.
~ pendikar gunung kriang
0 comments:
Catat Ulasan