Rabu, April 13, 2011

Krisis nuklear Jepun sama seperti Chernobyl

OMBAK tsunami melanda kawasan loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun pada 11 Mac lalu.

Kosmo | TOKYO - Jepun meletakkan krisis nuklear Fukushima Daiichi di timur laut negara itu menyamai tragedi nuklear terburuk dunia di Chernobyl, Ukraine pada tahun 1986 selepas data baru menunjukkan lebih banyak radiasi merebak semasa krisis itu tercetus berbanding jangkaan sebelum ini.

Beberapa pegawai berkata, mereka mengambil masa agak lama untuk menyukat kadar radiasi dari loji Fukushima yang rosak dalam gempa bumi pada 11 Mac lalu dan peningkatan tahap krisis nuklear tersebut pada tahap tertinggi tidak bermakna bahawa situasi kini bertambah buruk.

"Persediaan kami adalah bagaimana untuk mengukur kebocoran radiasi apabila berlakunya tsunami dan gempa bumi adalah tidak cukup dan hasilnya kita lambat dalam menyebarkan maklumat di peringkat antarabangsa," kata pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri Jepun Naoto Kan.

Justeru, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri (NISA) Jepun, Hidehiko Nishiyama, berkata, keputusan menaikkan tahap bahaya krisis nuklear daripada tahap lima kepada tahap tujuh seperti yang dilaksanakan ketika bencana Chernobyl adalah berdasarkan jumlah radiasi yang dibebaskan.

"Sebelum ini pun, kami pernah mempertimbangkan keadaan ini sebagai insiden serius. Tidak akan berlaku perubahan besar dalam cara kami mengendalikan masalah ini," katanya.

Satu lagi gempa bumi melanda timur Jepun semalam menyebabkan kebakaran berlaku di loji nuklear yang bocor itu tetapi jurutera-jurutera yang bertugas di loji terbabit berjaya memadamkan api tersebut.

Tahap tujuh bermakna jumlah radiasi yang dibebaskan adalah besar dengan memberi kesan buruk keatas kesihatan manusia dan alam sekitar sehingga melibatkan kematianmanakala tahap 5 pula hanya membabitkan pengeluaran radiasi dalam jumlah yang terhad.

Tragedi di Chernobyl berlaku pada 26 April 1986 yang melibatkan 350,400 penduduk dipindahkan dari kawasan tersebut.

Letupan tersebut menyebabkan kadar radiasi yang tinggi tersebar di ruang udara di sekitar bandar tersebut. - Agensi

0 comments:

Post Haru Biru

Arkib Blog